Mustahil Zara Qairina Muat Dalam Mesin Basuh – Pakar Patologi

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa adalah mustahil untuk memasukkan remaja berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir ke dalam mesin basuh seperti yang didakwa.

Pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu, 58, menjelaskan bahawa faktor berat badan mangsa menjadikan perkara itu tidak logik secara fizikal.

“Mangsa mempunyai berat 53 kilogram dan saya tidak fikir mesin basuh domestik itu boleh berfungsi dengan beban seberat itu,” katanya ketika memberi keterangan pada hari kedua prosiding inkues.

Keterangan itu diberikan sebagai jawapan kepada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad yang mengendalikan prosiding berkenaan.

Dr Hiu turut mengesahkan kewujudan sebuah mesin basuh di lokasi kejadian yang terletak di tingkat bawah berhampiran tangga, namun menegaskan bahawa ia adalah jenis domestik dan bukan mesin industri.

Prosiding berlangsung di hadapan Koroner merangkap Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.

Terdahulu, Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lalu, selepas ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Susulan siasatan awal, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Ogos memutuskan satu inkues dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian.

Sebelum itu, pada 8 Ogos, AGC telah mengarahkan penggalian semula kubur mangsa bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Anda Mungkin Berminat