Mustakim Mohamad dilantik jadi CEO baharu di Tabung Haji

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Mustakim Mohamad dilantik menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH) yang baharu menggantikan Datuk Syed Hamadah Syed Othman berkuat-kuasa mulai 6 Mei ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, hari ini.

Beliau berkata pelantikan Mustakim selari dengan falsafah TH untuk terus menerajui kecemerlangan dari setiap sudut demi manfaat para pendeposit.

“Ini termasuk mengurus cabaran beroperasi dalam keadaan pasaran global tidak menentu dan peningkatan kos perkhidmatan pihak ketiga seperti kos penerbangan, penginapan dan perubatan,” katanya.

Menurut Na’im Mokhtar, pertimbangan dalam melantik tampuk kepimpinan yang berwibawa cukup penting memandangkan ciri-ciri TH yang berfungsi sebagai sebuah organisasi yang mengendalikan amanah yang besar.

“Pelantikan Encik Mustakim Mohamad adalah berasaskan pengalaman dan keupayaannya dalam merealisasikan wawasan TH ke peringkat seterusnya.

“Perjalanan kerjaya Encik Mustakim di TH mencecah hampir 20 tahun dan merangkumi peranan kepimpinan dalam pelbagai bidang temasuk Kewangan, Pelaburan, Perkhidmatan Deposit dan Operasi, serta Teknologi Maklumat dan Keselamatan.

“Jawatan terakhir beliau adalah Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana dari Universiti RMIT di Australia dalam jurusan kewangan serta diiktiraf sebagai ahli Felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA),” ujar Na’im.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat Datuk Syed Hamadah Syed Othman yang bakal tamat kontraknya pada 5 Mei 2025 setelah berkhidmat selama dua tahun sebagai CEO TH.

“Kepimpinan baharu ini akan menekankan pendekatan proaktif lagi berinovatif dalam perancangan TH agar menjadi institusi Islam yang beroperasi secara mampan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat