KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud mengalu-alukan langkah Kerajaan MADANI membuka peluang ekonomi baharu, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Katanya, ia termasuklah dalam memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan teknologi masa hadapan iaitu kecerdasan buatan (AI) serta pembangunan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pendidikan tinggi.
“Peluasan tenaga hijau bukan sahaja menyokong usaha kelestarian alam sekitar, malah yang memiliki potensi besar dalam sektor tenaga boleh baharu.
“Pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti AI serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi amat penting bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi permintaan industri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam masa sama, Mustapha turut menyambut baik inisiatif perumahan rakyat yang dilaksanakan Kerajaan MADANI, termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mesra Rakyat serta skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia.
Katanya, langkah berkenaan membuktikan pendekatan Kerajaan yang holistik dan berteraskan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam memastikan akses kepada perumahan yang selesa dan mampu milik.
“Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan seimbang, tanpa meminggirkan mana-mana golongan atau wilayah” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Persekutuan bertekad memperkukuh dan mempercepat agenda pembangunan Sabah susulan pembentukan kerajaan negeri yang Baharu melalui pelaksanaan dasar berteraskan komitmen terhadap MA63 (Perjanjian Malaysia 1963).
Baca juga:








