Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal telah tiba di Kuala Lumpur daripada Azerbaijan pada pukul 1.00 pagi pada Isnin bagi menerima rawatan susulan daripada masalah kesihatan ketika berada di sana.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Yang Di-Petua Dewan Negara, beliau telah dibawa ke hospital di Kuala Lumpur bagi menerima rawatan perubatan sejurus tiba di Malaysia.
“Datuk Mutang Tagal berada di Azerbaijan untuk lawatan kerja bermula 29 April 2024 dan telah pulang lebih awal daripada jadualnya,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Mutang Tagal mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak di Malaysia dan Azerbaijan yang telah membantu urusan rawatan beliau di Azerbaijan dan juga untuk pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Dalam masa sama, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas kiriman tanda ingatan serta doa untuk kesembuhan beliau daripada semua pihak dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada beliau serta keluarga di sepanjang tempoh rawatan ini,” katanya.

Terdahulu, Mutang Tagal telah mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri 6th World Forum on Intercultural Dialogue yang berlangsung pada 1 Mei hingga 3 Mei di Baku, Azerbaijan.
Sebelum menghadiri forum tersebut, beliau telah melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden, Perdana Menteri dan Speaker Milli Majlis Republik Azerbaijan bagi membincangkan tentang peningkatan pendidikan, hal perdagangan dan pelaburan di Malaysia dan pengambilan bahagian persidangan COP29 yang diadakan Azerbaijan.
Baca juga: