Muzium Malaysia Catat Rekod Baharu, Jadi Tumpuan Rakyat Dan Pelancong

KUALA LUMPUR: Muzium di bawah Jabatan Muzium Malaysia terus membuktikan daya tarikannya apabila tahun 2025 mencatatkan kejayaan luar biasa dengan jumlah keseluruhan 2,457,051 pelawat, sekali gus melepasi sasaran 2.2 juta yang ditetapkan.

Daripada jumlah itu, 355,585 pelawat antarabangsa turut memilih muzium negara sebagai destinasi utama, menandakan pengiktirafan global terhadap warisan dan budaya Malaysia.

Mengorak langkah ke tahun 2026, kementerian merancang untuk menjadikan pengalaman di muzium lebih meriah dengan tiga segmen utama iaitu Citra Nusa @ Muzium, Fiesta Uniti @ Muzium dan Muzium Bersama Komuniti.

Program-program itu dijangka memperkukuh kedudukan muzium sebagai pusat ilmu, budaya dan perpaduan masyarakat.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan muzium kekal relevan dengan generasi masa kini.

“Kementerian Perpaduan Negara komited untuk menghidupkan semula muzium sebagai ruang ilmu yang dinamik, inklusif dan relevan dengan generasi masa kini.

“Usaha ini merangkumi pemodenan pameran, penggunaan teknologi interaktif serta pengisian program berimpak tinggi agar muzium terus menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut menekankan bahawa muzium bukan sekadar ruang pameran tetapi juga platform penyatuan masyarakat pelbagai kaum.

Pendekatan berasaskan komuniti dan kolaborasi strategik akan terus diperkasa bagi merapatkan jurang, memupuk kefahaman serta menyemai semangat perpaduan nasional.

“Muzium adalah nadi identiti, perpaduan dan masa depan negara,” ujar beliau.

Dengan pencapaian cemerlang tahun lalu dan perancangan segmen baharu yang lebih inklusif, muzium dijangka terus menjadi destinasi pilihan rakyat Malaysia dan pelawat antarabangsa yang ingin memahami sejarah, budaya serta semangat perpaduan negara.

Anda Mungkin Berminat