MV Question Dolla Diturun Selepas Teguran Menteri Agama

PETALING JAYA: Universal Music Malaysia menarik turun video muzik (MV) terbaharu kumpulan Dolla berjudul Question selepas menerima teguran pelbagai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar.

Dalam kenyataan rasmi, syarikat rakaman itu menjelaskan penampilan ahli kumpulan berkenaan telah menimbulkan sensitiviti dan dianggap tidak sesuai oleh sebahagian besar penonton.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan dibuat selepas penelitian semula terhadap kandungan video serta maklum balas masyarakat.

“Kami menghormati nilai budaya dan sensitiviti agama dalam konteks Malaysia yang majmuk.

“Kreativiti perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat.

“Maka, penurunan MV ini adalah langkah wajar bagi menjaga keharmonian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau menambah, setiap perancangan kreatif selepas ini akan melalui proses semakan lebih ketat termasuk konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sama berulang.

Universal Music turut merakamkan penghargaan kepada peminat atas maklum balas membina dan berharap hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik kekal baik.

Terdahulu, Mohd Na’im memaklumkan pihaknya sedang meneliti kemungkinan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti Islam yang berpakaian terlalu menjolok mata, selain mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian artis.

MV Question turut menerima kritikan daripada pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang menyifatkan penampilan ahli Dolla sebagai ‘terlalu terbuka dan memalukan’.

Anda Mungkin Berminat