PETALING JAYA: Biro Guaman & Aduan Awam, AMK Malaysia tampil membidas kenyataan Yang dipertua (YDP) PAS Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad yang didakwa bersifat prejudis malah mengelirukan rakyat berkaitan program Malaysia My Second Home (MM2H).
Menerusi kenyataan media hari ini, ketuanya, Khairul Naim Rafidi berkata Zaharudin cuba membangkitkan keraguan kononnya warga asing boleh memperolehi kewarganegaraan melalui program Malaysia My Second Home (MM2H), dan seterusnya layak menjadi Perdana Menteri menjelang tahun 2058.
”Zaharudin mendakwa bahawa program Malaysia My Second Home (MM2H) akan membuka ruang kepada bangsa asing untuk menjadi warganegara dan seterusnya menjadi Perdana Menteri. Ini adalah andaian salah yang bercanggah dengan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.
Khairul menjelaskan, bahawa MM2H hanyalah sebuah program visa jangka panjang, yang mana peserta kekal sebagai warganegara negara asal.
Selain itu katanya, ia juga tidak memberikan taraf pemastautin tetap, malah jauh sekali meraih kewarganegaraan dan anak kepada peserta MM2H yang lahir di Malaysia tidak secara automatik menjadi warganegara.
Menyentuh mengenai kewarganegaraan, beliau menegaskan bahawa negara memperuntukkan di bawah Perkara 14, 15 dan 19 Perlembagaan Persekutuan menetapkan syarat pemberian kewarganegaraan yang ketat, antaranya ibu bapa warganegara, tempoh pemastautinan sekurang-kurangnya 10 tahun, penguasaan Bahasa Melayu, dan sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.
Lebih penting lagi katanya, berdasarkan Perkara 43(7) Perlembagaan telah menetapkan bahawa individu yang diperolehi kewarganegaraannya melalui naturalisasi tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri yang mana ia menjadikan dakwaan Zaharudin sebagai hasutan yang menyelewengkan hakikat undang-undang.
Susulan daripada itu, pihaknya menggesa Zaharudin agar tampil memohon maaf secara terbuka kerana kenyataannya itu dibimbangi mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat, serta menasihatkan beliau untuk memahami semula teks Perlembagaan dengan lebih mendalam.
“Sebagai ahli politik, Zaharudin sepatutnya memahami bahawa memperbaiki kesilapan bukan tanda kelemahan. Malah mencerminkan kemuliaan akhlak dan keberanian moral,” ujarnya.
Tegasnya, negara ini tidak dibina atas sentimen perkauman yang sempit, ia dibina atas asas undang-undang, institusi, dan sejarah perjuangan yang panjang.
“Setiap kenyataan yang berniat untuk memutar belit Perlembagaan demi agenda politik wajar ditegur dan ditolak secara tegas. Sekian, terima kasih,” ujarnya.