MyKiosk Bukan Projek ‘Gajah Putih’, Pengisian Cecah 90 Peratus – KPKT


PARLIMEN | Inisiatif MyKiosk oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus menunjukkan prestasi membanggakan dengan kadar pengisian unit mencapai lebih 90 peratus sejak ia diperkenalkan.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sebanyak 91.75 peratus unit MyKiosk@KPKT bagi tahun 2023 telah diisi sepenuhnya, manakala MyKiosk 2.0 untuk tahun 2024 pula mencatat kadar pengisian sebanyak 86.78 peratus.

“MyKiosk bukan projek gajah putih. Data jelas menunjukkan pengisiannya tinggi dan memberi manfaat terus kepada rakyat terutama peniaga kecil yang memerlukan ruang niaga mampu milik,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Nga, sebanyak 3,189 unit kiosk telah dibangunkan tahun lalu melalui peruntukan RM50 juta.

Tahun ini, katanya, kerajaan memperkukuh inisiatif tersebut menerusi MyKiosk 2.0 dengan peruntukan RM100 juta bagi membina tambahan 4,054 unit.

“MyKiosk 2.0 juga diberi nafas baharu dengan reka bentuk lebih lestari dan mesra alam serta dilengkapi kemudahan yang lebih baik tanpa sebarang kenaikan harga sewaan,” jelasnya.

Beliau turut memetik penjelasan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan tiada unsur salah laku dalam projek berkenaan, sekali gus memperkukuh kredibiliti pelaksanaannya.

“Saya mohon mereka yang membuat tohmahan supaya tampil memohon maaf kerana penjawat awam yang melaksanakan projek ini bekerja keras membantu rakyat,” katanya.

Anda Mungkin Berminat