MyWira Accelerator Sasar Latih 100,000 Wanita Menjelang 2030

KUALA LUMPUR: Malaysia melancarkan inisiatif nasional Wanita MyWira Accelerator, dengan matlamat memperkasa lebih 100,000 wanita menjelang 2030 melalui latihan kemahiran dan peluang pekerjaan dalam sektor berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan tenaga boleh diperbaharui.

Program itu diterajui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui TalentCorp dengan kerjasama Forum Ekonomi Dunia (WEF), menjadikan Malaysia negara ASEAN pertama menyertai rangkaian Global Gender Parity Accelerator.

Pada tahun pertama pelaksanaan, seramai 1,000 wanita akan dilatih di bawah program MyMahir dengan sasaran penempatan kerja sebanyak 80 peratus dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pelancaran ini membuktikan komitmen kerajaan untuk memperkasa tenaga kerja wanita dalam sektor strategik masa hadapan.

“Kami mahu wanita Malaysia bersedia menghadapi perubahan pasaran kerja global khususnya dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya dipetik MalaysiaKini pada Khamis.

Beliau turut berkata, usaha memperkasa wanita disokong melalui dasar mesra keluarga seperti Aturan Kerja Fleksibel (AKF) dan insentif potongan cukai kepada majikan yang mengamalkannya.

“Kerajaan mahu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan seimbang agar wanita tidak lagi terhalang untuk meneruskan kerjaya selepas berkeluarga,” katanya.

Pada masa yang sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan inisiatif itu sebagai sejajar dengan Dasar Wanita Negara 2025–2030 dan visi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan serta kemakmuran bersama.

“Apabila wanita berjaya, negara turut berjaya. Wanita MyWira membina laluan sebenar untuk wanita menyumbang sepenuhnya dalam ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan WEF, Saadia Zahidi menyifatkan program itu sebagai contoh terbaik dalam menangani jurang gender dan memperluas peluang dalam sektor masa depan.

“Fokus kepada bidang AI, digital dan ekonomi hijau akan menjadikan Malaysia antara peneraju dalam kesaksamaan ekonomi wanita di rantau ini,” katanya.

Pelancaran MyWira Accelerator menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia membina tenaga kerja wanita yang lebih tangkas, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin kompleks.

Anda Mungkin Berminat