KUANTAN: Kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah pantas menggerakkan ‘NADI on Wheels’ (NOW) bermula 19 Disember 2025 bagi menyediakan akses komunikasi dan internet kepada mangsa banjir di Pahang yang terjejas akibat gangguan infrastruktur.
Ketika ribuan penduduk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), keperluan kepada komunikasi dan maklumat menjadi kritikal.
Menyedari situasi itu, MCMC menggerakkan unit bergerak NOW sebagai pusat digital lapangan, memastikan mangsa terus berhubung dengan keluarga, maklumat rasmi dan urusan harian.
Perkhidmatan ini mula beroperasi di PPS Bukit Setongkol, Kuantan, menggunakan van khas yang dilengkapi teknologi moden.
Akses internet berkelajuan tinggi disediakan melalui Satelit Starlink, sementara sistem solar mudah alih digunakan untuk memastikan operasi berterusan walaupun bekalan elektrik terganggu.
NOW juga menyediakan pelbagai peranti digital seperti komputer riba, tablet dan projektor untuk kegunaan mangsa termasuk urusan pekerjaan, pembelajaran dalam talian dan komunikasi peribadi.
Wi-Fi percuma disediakan bagi semua penduduk PPS sepanjang tempoh pemindahan.
“Inisiatif ini bertujuan memastikan mangsa kekal berhubung, memperoleh maklumat yang tepat serta dapat meneruskan urusan penting walaupun berada dalam situasi bencana,”kata MCMC dalam kenyataan media.
MCMC menegaskan, unit NOW bersedia digerakkan ke PPS lain sekiranya diperlukan.
Langkah fleksibel ini menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan digital rakyat terus terpelihara walaupun ketika berdepan bencana.
Inisiatif NADI on Wheels membuktikan bahawa teknologi bukan sekadar kemudahan tetapi alat penting dalam pengurusan bencana dan sokongan komuniti, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan ihsan, keterangkuman dan daya tahan rakyat.








