PULAU BANGGI: Usaha memperkasa komuniti luar bandar melalui teknologi digital terus diperkukuh apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turun padang ke Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pulau Banggi pada Ahad.
Lawatan itu bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluas capaian digital secara menyeluruh.
Fahmi turut meninjau sendiri kemudahan telekomunikasi di kawasan tersebut serta berinteraksi dengan ahli Komuniti MADANI dan penduduk setempat bagi mendapatkan maklum balas secara langsung.
“NADI Pulau Banggi berperanan sebagai pusat digital sehenti di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menyediakan Internet, latihan kemahiran digital dan akses maklumat untuk masyarakat setempat,” menurut MCMC dalam satu kenyataan.
Menurut MCMC, dengan sokongan teknologi Starlink, pusat itu kini menawarkan akses Internet berkelajuan tinggi melebihi 100Mbps, sekali gus membuka peluang kepada penduduk untuk mengikuti latihan digital, memperkukuh pendidikan, menjana ekonomi dan mengembangkan keusahawanan.
Katanya, usaha itu selaras dengan agenda pendigitalan negara dan pembangunan sosioekonomi, serta memastikan tiada komuniti yang terpinggir daripada arus kemajuan.
Lebih membanggakan, MCMC berkata, inisiatif itu telah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai juara World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 bagi kategori C4: Capacity Building, anjuran International Telecommunication Union (ITU) dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).