PETALING JAYA: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mencatat sejarah apabila berjaya merekodkan keuntungan tertinggi dua tahun berturut-turut sejak penubuhannya.
Tahun 2024 menyaksikan keuntungan mencecah RM227 juta, manakala tahun 2025 pula sebanyak RM201 juta.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu bukan sekadar angka tetapi hasil daripada kerja keras, urus tadbir telus serta komitmen seluruh warga peladang.
“Sebab tu Bang Mat nak tegaskan, kita buat reformasi ini untuk peladang.
“Bukan untuk orang atas-atas, bukan untuk cantik atas kertas tapi supaya peladang dapat manfaat sebenar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memperkenalkan Pelan Reformasi 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada tadbir urus lebih kemas, integriti kukuh dan pengurusan kewangan yang teliti agar keuntungan dapat kembali semula kepada ahli peladang.
“Bila NAFAS kuat, peladang makin terbela. Bila peladang terbela, keterjaminan makanan negara pun makin terjamin,” katanya.
Mohamad Sabu menekankan bahawa usaha itu bukan semata-mata mengejar keuntungan tetapi untuk mengangkat martabat peladang di seluruh negara, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan Malaysia.








