PARLIMEN | Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kekal digantung sejak 1 November 2024, menurut pengesahan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sepanjang tempoh penggantungan itu, katanya, segala urusan NAFAS dikawal selia oleh individu yang dilantik oleh Pendaftar Pertubuhan Peladang, dengan kuasa tertakluk sepenuhnya kepada arahan pihak pendaftar.
“Pendaftar telah melantik Majlis Penasihat NAFAS yang dianggotai oleh lima ahli profesional berpengalaman dalam tadbir urus serta pengurusan kerajaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan, berhubung status terkini penggantungan perlembagaan NAFAS.
Menurut beliau, Majlis Penasihat itu memainkan peranan penting dalam menilai semula keseluruhan aspek pengurusan dan perniagaan NAFAS termasuk anak syarikatnya bagi memastikan tindakan pembetulan yang diambil bersifat menyeluruh, berasaskan fakta dan menjurus kepada pemulihan institusi secara berstruktur serta berintegriti.
“Majlis berperanan untuk menilai semula setiap aspek pengurusan dan perniagaan NAFAS termasuk subsidiari bagi memastikan tindakan pembetulan bersifat menyeluruh, berasaskan fakta dan menjurus kepada pemulihan institusi secara berstruktur serta berintegriti,” katanya.
Mohamad Sabu turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang melaksanakan beberapa strategi baharu dalam usaha menstruktur semula NAFAS.
Katanya, antara langkah yang digariskan termasuk reformasi tatakelola, penilaian dan penstrukturan semula tadbir urus, penstrukturan subsidiari, audit pengurusan serta pemantauan berterusan.
Langkah-langkah itu juga merangkumi pengukuhan mekanisme semak dan imbang, penguatkuasaan kod etika dan integriti, pemelbagaian sumber pendapatan serta usaha memulihkan kepercayaan awam terhadap institusi tersebut.
Mohamad Sabu berkata, kesemua strategi itu bakal dipetakan menerusi dokumen ‘Blueprint Penambahbaikan Tatakelola dan Keberdayasaingan NAFAS 2.0’, yang menggariskan lima teras utama iaitu tadbir urus dan kepimpinan organisasi, perundangan dan pematuhan, pengurusan dana dan perolehan, model perniagaan dan kelestarian kewangan, serta sistem pemantauan audit dalaman dan penerbitan.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Perlembagaan NAFAS digantung berkuat kuasa 1 November 2024, susulan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Peladang, Amir Matamin, selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Amir menjelaskan bahawa penggantungan itu dibuat berikutan ketidakharmonian dalam pentadbiran NAFAS, apabila Jemaah Pengarah didapati membelakangi keputusan pendaftar dan bertindak mengeluarkan kenyataan media tanpa merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu.