Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tragedi nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini berkemungkinan besar berpunca daripada kesalahan kecuaian manusia dan bukannya kegagalan mekanikal.
Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya dan Profesor Pusat Kajian Psikologi Fakulti Sains Sosial Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Rozmi Ismail berkata berdasarkan analisis analitikal terhadap rakaman kamera papan pemuka (dashcam’) yang ditularkan itu, pemandu bas dilihat memandu dalam keadaan yang terlalu laju.
“Dia (pemandu) bukan bawa pasir, kayu atau batu, dia bawa manusia. Kalau betul ada masalah brek, mengapa masih potong kenderaan lain?
“Biasanya, kalau ada masalah, kita akan perlahankan kenderaan, bukan terus laju dan memotong,” ujarnya kepada Malaysia Bangkit.

Patut tahu awal
Kata beliau, impak kelajuan yang tinggi menjadikan bas sukar dikawal apatah lagi ketika menuruni bukit atau melalui selekoh.
“Awak bawa laju dan tiba sahaja masuk ke dalam selekoh, bas berat dan bila berat kenderan itu sukar imbang, ini bukan kegagalan mekanikal, ini masalah kecuaian manusia ‘human error’” tegasnya.
Menurutnya lagi, alasan mekanikal yang dinyatakan oleh pemandu bas itu tidak logik kerana kenderaan berat seperti itu sudah dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih.
“Kalau betul ada masalah, pemandu bas itu sepatutnya sudah tahu sejam dua sebelum itu.
“Boleh berhenti, buat panggilan, ambil tindakan. Tapi ini tak berlaku. Itulah sebab saya cenderung kepada faktor kecuaian manusia,” jelasnya.
Justeru, beliau mencadangkan beberapa langkah konkrit bagi mengelakan insiden yang sama berulang iaitu kesemua bas dan lori perlu dipasang kamera ‘Dashcam’ di dalam kabin pemanduan mereka.
Manakala yang kedua pula, ia dengan menguatkuasakan penggunaan buku catatan log dan diwajibkan serta disemak oleh pihak berkuasa.
“Ia perlu rekod masa perjalanan, masa rehat, pertukaran pemandu dan pemeriksaan kenderaan,” katanya.

Perlu SOP
Selain itu, beliau turut menekankan keperluan ujian mental ke atas pemandu serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.
“Ramai kalangan pemandu tidak mengikut SOP, bila dah jadi macam ini, semua mula menyalahkan orang lain, kalau semua ikut SOP, isu ini boleh dikurangkan,” ujarnya.
Menyentuh kepada keadaan tragis sehingga mangsa tercampak keluar daripada bas beliau menyarankan untuk mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar kepada semua penumpang bas.
Katanya lagi, sesuatu anjakan paradigma perlu segera dilaksanakan buat keselamatan jalan raya yang membabitkan pengangkutan besar seperti bas yang khususnya membawa nyawa manusia dalam jumlah yang banyak.
“Setiap minggu kita dengar lori melanggar orang, sekarang ini pula bas, ini sesuatu yang perlu diperbaiki segera,” katanya.
Sebelum ini, negara dikejutkan dengan nahas yang begitu menyedihkan apabila seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh lagi parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terlibat dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak pada Isnin.
Baca juga: