Oleh: Aliyaa Azmi
PETALING JAYA: Tragedi menyayat hati yang mengorbankan 10 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh aspek keselamatan pengangkutan pasukan keselamatan negara.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri menyifatkan insiden itu sebagai titik tolak penting ke arah pembaharuan sistem pengangkutan pasukan beruniform, khususnya membabitkan perjalanan jarak jauh dan misi latihan.
Menurutnya, sudah tiba masanya kenderaan lama diganti dengan model baharu yang lebih moden dan dilengkapi ciri keselamatan canggih seperti tali pinggang keledar dan sangkar keselamatan.
“Langkah menaik taraf ini bukan sahaja melindungi anggota, tetapi juga memberi isyarat bahawa nyawa mereka amat dihargai oleh pihak atasan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit hari ini.

Beliau turut mencadangkan penggunaan bas khas yang lebih selesa dan selamat bagi menggantikan trak lama, terutama ketika membawa anggota dalam jumlah ramai bagi tugasan luar.
Selain itu, katanya, SOP berkonvoi juga wajar diperkemaskan termasuk menambahbaik peranan ‘lead car’ yang menjadi penentu kepada keselamatan keseluruhan konvoi, dengan kawalan kelajuan tidak melebihi 80 km/j.
“Tragedi ini membuka mata semua pihak bahawa kawalan keselamatan harus bermula daripada perancangan, pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan,” katanya.
PPKJR turut menyeru agar aspek penyelenggaraan kenderaan diperketat dan sistem penilaian latar belakang pemandu diperhalusi bagi memastikan hanya pemandu yang layak mengendalikan kenderaan berat.
Jamil berkata, pihaknya yakin dengan kerjasama antara agensi keselamatan, Kementerian Pengangkutan dan pakar industri, sistem pengangkutan anggota negara dapat dipertingkat dengan lebih selamat dan efisien.
“Kita perlu jadikan tragedi ini sebagai pemangkin perubahan. Ia bukan hanya tentang insiden semalam, tetapi soal menjaga nyawa barisan hadapan kita pada masa hadapan,” katanya.
Baca juga: