TELUK INTAN: Pemandu lori muatan batu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pagi ini, atas sembilan pertuduhan menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam kemalangan di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Selasa lalu.
Memetik laporan media tempatan, tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, membuat pengakuan itu selepas sembilan pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norhamizah Shaiffuddin yang bertindak sebagai Majistret.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang itu didakwa telah memandu lori jenis Hivo secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kepada S. Perumal, 44; Mohd. Roslan Abdul Rahim, 46; Mohd. Pozli Jaudin, 41; Nurit Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Muhamad Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 15, Jalan Sungai Manik di daerah Hilir Perak pada pukul 9 pagi, 13 Mei 2025.
Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan daripada memegang dan mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak lebih lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) S Francis.
Ketika prosiding berlangsung, Izzuddin Fakri mencadangkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan beserta syarat tambahan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai di mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap minggu.
Bagaimanapun, Francis memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan RM2,000 selain menghidap penyakit asma.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan beserta syarat tambahan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Jun depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Baca juga:







