Nahas trak PSP: Timbalan KPN beri penghormatan terakhir buat sembilan wira negara

IPOH: Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay pagi tadi memberi penghormatan terakhir kepada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) yang terkorban dalam kemalangan di Teluk Intan, semalam.

Istiadat penghormatan yang diadakan di PSP Unit 5, Sungai Senam itu berlangsung dalam suasana penuh hiba dengan kehadiran lebih 500 waris mangsa dan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semua jenazah dan jasad wira negara berkenaan tiba dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dan ditutupi Jalur Gemilang sebagai simbol penghormatan pasukan serta negara atas khidmat dan pengorbanan yang telah mereka curahkan.

Kemalangan membabitkan sebuah lori dan trak PSP itu berlaku di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan ketika kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas mengawal perarakan Hari Wesak. Seramai sembilan anggota disahkan maut, manakala sembilan lagi cedera, termasuk seorang yang sedang menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Tujuh jenazah beragama Islam dibawa ke Surau Ar-Rahman untuk disolatkan sebelum dihantar ke kampung halaman masing-masing bagi urusan pengebumian. Solat jenazah dipimpin oleh Ustaz Ahmad Kamil Ibrahim dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Turut hadir memberikan penghormatan ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid; Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin serta barisan pegawai kanan PDRM termasuk Komander 69 Komando, SAC Hamzah Hashim dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Dr. Bakri Zainal Abidin.

Pemergian sembilan wira negara ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat PDRM dan negara. Segala jasa dan pengorbanan mereka akan terus dikenang dan dihargai sepanjang zaman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat