KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan hari ini mengumumkan bahawa permit operasi sebuah syarikat bas yang terlibat dalam nahas maut di Gerik, Perak, telah dibatalkan serta-merta tanpa sebarang peluang untuk rayuan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pemilik syarikat tersebut telah melakukan dua pelanggaran serius iaitu menyewakan permit operasi kepada pihak ketiga dan gagal mengaktifkan sistem GPS pada bas.
“Pemilik menyewakan permit kepada pengendali lain dengan bayaran RM500 sebulan. Pemilik beralamat di Kedah tetapi pengendali beroperasi dari Kelantan. Ini jelas melanggar syarat permit,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Tambah Loke, semasa diminta menyerahkan laporan GPS, syarikat terbabit tidak dapat berbuat demikian kerana sistem GPS pada bas tersebut langsung tidak diaktifkan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembatalan permit ini adalah muktamad dan kekal, tanpa sebarang ruang untuk rayuan.
Dalam pada itu, Loke turut mengulas mengenai satu lagi insiden kemalangan yang meragut nyawa sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan. Menurutnya, laporan awal berkaitan insiden itu akan diterbitkan esok di laman web rasmi Kementerian Pengangkutan.
Laporan berkenaan mengandungi penemuan teknikal daripada Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Penemuan awal ini telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pagi tadi. Namun, laporan penuh masih dalam peringkat penyediaan. Ini hanyalah laporan awal bagi membolehkan orang awam memahami situasi sebenar,” jelas beliau.
Baca juga: