Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat sendiri keadaan mangsa banjir di Kelantan mengumumkan peruntukan berjumlah RM910.52 juta bagi mengatasi masalah banjir di negeri itu.
Katanya, perkara itu melibatkan lima projek baharu yang dijangka dimulakan proses perolehan pada tahun hadapan.
“Projek paling utama ialah PLSB (Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu) Sungai Golok Fasa 2.
“Seterusnya naik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir di negeri Kelantan.
“Ia melibatkan kerja-kerja menaiktaraf rumah pam Istana, Kota Bharu,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, sebanyak 18 projek dengan kos keseluruhan sebanyak RM2.42 bilion sedang dijalankan pada tahun semasa.
“Pada Januari 2024 JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dijangka akan melaksanakan dua projek iaitu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 3 dan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2,” ujarnya.
Beliau hadir menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Lati.
Turut serta, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Ahli Parlimen Tambun itu memberitahu, projek ketiga ialah menaik taraf saliran bagi mengatasi banjir di Pasar Kedai Mulong.
Projek naik taraf saliran bagi mencegah banjir di Ketereh turut tersenarai dalam cadangan tersebut termasuk Pembinaan dan menaiktaraf saliran bagi mengatasi masalah banjir di Sekolah Kebangsaan Ketereh dan pemuliharaan pantai di Airport City Sabak.
Baca juga: