Naik taraf lapangan terbang Kota Kinabalu, tingkat ekonomi Sabah


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu yang akan dilaksanakan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dengan kos berjumlah RM442.3 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan bahawa projek ini dijangka mengambil masa 48 bulan dan akan bermula pada tahun ini, dengan jangkaan siap menjelang 2027.

“Projek ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur di Sabah mampu memenuhi keperluan semasa dan masa depan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Projek tersebut merangkumi pembesaran terminal utama yang bakal meningkatkan kapasiti terminal dari 9 juta kepada 12 juta penumpang setahun, selain kemudahan baru seperti kawasan parkir bertingkat serta tambahan ruang parkir pesawat.

Dengan peningkatan ini, lapangan terbang dijangka dapat menyediakan pengalaman perjalanan yang lebih selesa.

“Penambahbaikan ini akan memberikan perjalanan yang lebih lancar dan selesa untuk pengguna,” tambahnya.

Selain itu, lapangan terbang akan diintegrasikan dengan teknologi hijau dan teknologi ‘Airport 4.0’ bagi meningkatkan kecekapan operasi melalui automasi dan inovasi teknologi.

“Kita melihat ini sebagai satu pendekatan baru yang lebih inovatif dan mampu mempercepatkan pelaksanaan projek-projek penting untuk negara,” jelasnya.

Projek ini bukan sahaja memberi impak besar kepada sektor pengangkutan udara tetapi juga membuka peluang ekonomi kepada rakyat Sabah.

Anthony menegaskan, pelaburan ini bukan sahaja akan memberi pulangan kepada MAHB, tetapi juga membuka pintu peluang kemakmuran kepada rakyat Sabah dan negara.

Model pembiayaan inovatif yang digunakan di Kota Kinabalu ini turut diaplikasikan pada projek-projek lapangan terbang lain, termasuk di Pulau Pinang dan berpotensi untuk digunapakai di lapangan terbang lain.

Beliau menyatakan bahawa model ini memberi fleksibiliti kepada MAHB untuk membiayai pembangunan tanpa bergantung sepenuhnya pada belanjawan tahunan.

Anda Mungkin Berminat