Najib, Anak Gagal Tangguh Prosiding Kebankrapan

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, gagal dalam usaha menangguhkan prosiding kebankrapan yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menolak permohonan mereka selepas mendapati tiada alasan kukuh untuk menangguhkan proses tersebut.

“Dalam keadaan ini, kedua-dua rayuan ditolak dengan kos RM7,000 setiap seorang,” kata Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah.

Beliau berkata, peranan mahkamah adalah memastikan kutipan dan pembayaran cukai berjalan lancar dan tidak melihat sebarang kemudaratan lain yang boleh mewajarkan penangguhan.

Katanya lagi, isu berkaitan merit penilaian cukai adalah di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP), bukannya mahkamah.

Sementara itu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Najib dan Nazifuddin memaklumkan bahawa beliau telah diarahkan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Terdahulu, pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan kedua-dua beranak itu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, sekali gus mengesahkan mereka perlu melunaskan tunggakan cukai berkenaan.

Anda Mungkin Berminat