KUALA LUMPUR: Permohonan representasi Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menggugurkan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM27 juta ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul, ketika prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy, hari ini.
Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memaklumkan bahawa kes akan diteruskan untuk perbicaraan.
Najib, 72, sebelum ini didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun miliknya di AmPrivate Banking, AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM5 juta atau kedua-duanya sekali.
Najib sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan bersalah atas tuduhan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Hukuman asal yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi ialah 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Namun, menerusi petisyen pengampunan yang difailkan pada 2 September 2022, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.
Baca juga: