Najib rayu rakyat kekal tenang, terus berjuang demi prinsip

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyeru rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah susulan perkembangan terbaharu berkaitan kes yang dihadapinya.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus menuntut hak melalui saluran perundangan yang sah.

“Saya menulis ini dengan fikiran yang tenang, meskipun hati saya berat.

“Ada ketika saya merasakan seolah-olah perjuangan ini harus saya pikul sendirian. Namun saya tetap bertekad untuk meneruskannya bukan kerana dendam, tetapi kerana prinsip.

“Apa yang saya tuntut hanyalah hak yang diperuntukkan oleh undang-undang dan apa yang telah diperkenankan. Niat saya tidak pernah berubah: untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi Facebook malam tadi.

Beliau menegaskan bahawa perjuangan berkenaan merupakan usaha menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan serta mempertahankan kedaulatan undang-undang yang perlu dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah dengan penuh maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan besar. Apa pun keputusan hari ini (Jumaat), saya tetap yakin terhadap proses kehakiman negara,” katanya.

Sehubungan itu, Najib menggesa orang ramai agar tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang bentuk provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau mencemarkan proses perundangan.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya menilai isu berkenaan secara rasional dan matang, bukan hanya dari sudut kedudukannya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara serta prinsip perundangan yang dijunjung bersama.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat