PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N62 Silam, Abd Halim Sidek Gulam Hassan, kekal disenaraikan dalam kertas undi meskipun beliau telah mengumumkan hasrat untuk menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkata, penarikan diri calon selepas tarikh dan waktu yang ditetapkan adalah tidak sah.
“Merujuk kepada Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, tiada calon dibenarkan menarik pencalonannya selepas 10 pagi pada hari penamaan.
“Calon PH bagi Bahagian Pilihan Raya Negeri N.62 Silam kekal di dalam kertas undi bahagian pilihan raya berkenaan,” kata SPR dalam satu kenyataan ringkas pada Selasa.
Keputusan itu memastikan Abd Halim masih tersenarai sebagai calon pada pilihan raya hujung bulan ini, walaupun beliau telah mengumumkan penarikan diri sebelum ini.
Terdahulu, Majlis Pimpinan PKR Sabah menjelaskan bahawa keputusan Abd Halim dibuat atas kehendak sendiri tanpa tekanan pihak luar dengan tujuan menjaga hubungan baik antara parti komponen PH.
PKR Sabah turut berkata, walaupun tidak bertanding, Abd Halim tetap komited untuk berkhidmat kepada rakyat di Silam dan Lahad Datu.
Parti itu menyeru penyokong PH agar kekal fokus serta memperkukuh perpaduan menjelang hari pengundian.








