Nanta impikan politik Malaysia tidak lagi berteras kaum dan agama

KUCHING: Keadaan politik di Semenanjung Malaysia disifatkan semakin sarat dengan perbalahan berasaskan kaum, agama dan kuasa, sekali gus menimbulkan persoalan tentang kefahaman sebenar terhadap semangat kebersamaan dalam Persekutuan Malaysia.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, meluahkan kebimbangan dengan situasi politik yang berlarutan itu dan ianya berbeza dengan di Sarawak.

“Jika kamu mahu memahami Formula Sarawak, kamu mesti memahami pemimpin kami.

“Premier kami bukan pemimpin yang bermain dengan sentimen. Beliau bercakap dengan hati, dan bertindak dengan tanggungjawab. Beliau tahu keharmonian itu rapuh namun sekali dipecahkan, sukar disatukan kembali,” katanya dalam program The Breakfast Grille di BFM 89.9.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya itu berkata, bukan sekadar perbezaan pandangan, sebaliknya mencerminkan kegagalan untuk menghormati kepelbagaian sebagai asas kehidupan bernegara.

Nanta menegaskan bahawa Sarawak kekal mempertahankan keharmonian dalam kepelbagaian melalui pendekatan kepimpinan yang tidak menjadikan sentimen kaum atau agama sebagai alat politik. Beliau merujuk kepada kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menurutnya mengutamakan tanggungjawab dan kestabilan sosial.

Walaupun kaum Dayak dan Cina membentuk majoriti dan Melayu menjadi tonggak penting, kepimpinan Abang Johari tetap disokong tanpa mengira warna kulit atau kepercayaan.

“Kerana di Sarawak, rakyat menilai pemimpin berdasarkan kejujuran, bukan retorik.

“Sarawak bukan negeri yang mudah ditadbir kerana kepelbagaian kaum, agama dan budaya, namun perbezaan itu tidak pernah dijadikan asas perpecahan. Ini bukan sesuatu yang baru.

“Sejak tahun 1960-an, Sarawak dipimpin oleh pemimpin Melayu Muslim dan Melanau tanpa pertumpahan kebencian. Kami memilih kedamaian, ketika orang lain memilih api,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada legasi Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang menegaskan bahawa tiada siapa dianggap pendatang di Sarawak, dan pendekatan itu diteruskan oleh kepimpinan semasa melalui pelaksanaan dasar-dasar pembangunan dan keharmonian sosial.

Menurut Nanta, pelbagai inisiatif seperti Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Agensi Pembangunan Wilayah Koridor (RECODA) serta program pembangunan luar bandar mencerminkan komitmen kerajaan negeri memastikan tiada komuniti tercicir.

Dalam pada itu, beliau mengakui kekecewaan rakyat Sarawak terhadap konflik berterusan di Semenanjung, yang menurutnya sering menjadikan isu politik, agama dan kaum sebagai medan pertikaian.

Sebagai Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Nanta menegaskan bahawa slogan “Sarawak Didahulukan” bukan bermaksud menolak Persekutuan, sebaliknya tuntutan agar hak Sarawak dihormati selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya cintakan Malaysia, tetapi kesetiaan saya kepada Sarawak tidak berbelah bahagi. Apabila hak Sarawak dipersoalkan, saya akan berdiri mempertahankannya,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat