Naratif Melayu Mahathir Tidak Lagi Berkesan – Penganalisis

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Konvensyen Melayu 153 yang dianjurkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu ini dilihat sebagai gimik politik semata-mata kerana pada dasarnya bekas Perdana Menteri itu gagal menyelesaikan banyak isu Melayu semasa memegang jawatan itu.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, rakyat kini tidak lagi terpengaruh dengan naratif Mahathir mengenai isu Melayu kerana ia tidak membawa hasil semasa beliau berkuasa.

“Tun Mahathir sudah banyak kali menggunakan naratif Melayu tetapi rakyat tidak lagi menyambut atau mempercayainya.

“Naratif ketakutan mengenai hak Melayu kini tidak relevan terutama di kalangan Melayu bandar yang lebih terbuka,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Beliau menambah, tindakan Mahathir mengundang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke konvensyen itu dilihat sebagai percubaan mencipta persepsi politik, bukannya usaha tulen untuk memperjelas isu Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Konvensyen ini lebih kepada membangkitkan suasana politik dan emosi Melayu tetapi keberkesanannya terhadap rakyat sudah terhad,” katanya lagi.

Dr Mazlan turut menegaskan bahawa isu Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat yang dibangkitkan Mahathir bukan isu yang perlu dibimbangkan kerana kerajaan pastinya akan dinasihati Pakar Undang-Undang dari Jabatan Peguam Negara yang mahir pelbagai sudut dan implikasi termasuk undang-undang antarabangsa.

“Tindakan Mahathir mempertikaikan perjanjian itu dianggap lebih sebagai naratif politik daripada kebimbangan sebenar terhadap dasar negara.

“Banyak isu Melayu yang dibangkitkan kini pernah menjadi fokus semasa Mahathir menjadi Perdana Menteri termasuk beberapa kontroversi seperti isu Batu Puteh, namun tidak diselesaikan sewajarnya.

“Konvensyen ini lebih kepada membangkitkan suasana politik dan emosi Melayu tetapi keberkesanannya terhadap rakyat sudah terhad,” ujarnya.

Konvensyen Melayu 153 dijadual berlangsung pada Sabtu ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, bagi membincangkan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perkara 153.

Anda Mungkin Berminat