PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini akan menentukan sama ada Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin dibebaskan atau disabitkan kesalahan atas pertuduhan mengabaikan anak autisme berusia enam tahun itu pada Disember 2023.
Keputusan akan disampaikan oleh Hakim Dr Syahliza Warnoh pada jam 9 pagi, selepas mahkamah mendengar hujahan akhir pendakwaan dan pembelaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira, 30, bersama suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, didakwa mengabaikan Zayn dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal antara 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023 di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, sehingga ke kawasan sungai berhampiran tempat mayat mangsa ditemui.
Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, sekiranya pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah, Ismanira akan dibebaskan serta-merta.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan terbabit. Sepanjang perbicaraan yang bermula 3 Februari hingga 24 April lalu, seramai 28 saksi pendakwaan dipanggil, termasuk pegawai penyiasat, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, pakar forensik Dr Rohayu Shahar Adnan, serta dua saksi kanak-kanak berusia 10 tahun.
Namun, pada 21 Julai, mahkamah membebaskan Zaim Ikhwan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, manakala Ismanira diperintahkan membela diri.
Dalam keterangannya, Ismanira menafikan sebarang penglibatan dan mendakwa penagih dadah atau individu pedofilia mungkin menjadi pelaku sebenar terhadap anaknya.
Beliau turut memanggil empat saksi pembelaan, termasuk bapa mentua Zahari Mohd Reba, seorang anggota polis wanita, rakan baiknya Umi Syafiqah Rohizal, dan Pakar Psikologi Kanak-Kanak, Dr Noor Aisyah Rosli.
Untuk rekod, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia pada 6 Disember 2023 di anak sungai berhampiran kediamannya, kira-kira 200 meter dari Blok R Pangsapuri Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, dan Kamarul Iman Ahmad Sapian, manakala Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Baca juga:








