Nasib Najib dalam kes 1MDB ditentukan esok

PETALING JAYA: Enam tahun setengah kes perbicaraan bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berlangsung, esok Mahkamah Tinggi akan memutuskan sama ada beliau dibebaskan atau diperintah membela diri.

Najib menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Keputusan itu akan disampaikan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada pukul 9 pagi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tarikh keputusan di akhir kes pendakwaan itu ditetapkan Sequerah pada 3 Oktober lalu selepas selesai mendengar hujahan melalui prosiding berlangsung selama 12 hari yang dikemukakan pihak pendakwaan dan peguam bela Najib.

Sekiranya Hakim bicara mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap Najib, maka beliau hendaklah membela diri terhadap semua tuduhan berkenaan dan mahkamah sama akan membuat keputusan sama ada beliau bersalah atau tidak, di akhir kes pembelaan.

Sekiranya mahkamah memutuskan sebaliknya, Najib yang juga bekas Presiden UMNO dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan daripada tuduhan berkenaan.

Pada 30 Mei lalu, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 50 saksi dalam perbicaraan yang berlangsung pada 28 Ogos 2019.

Antara saksi utama yang dipanggil semasa perbicaraan termasuk bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Supritendan Kanan Nur Aida Ariffin.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Bahrin Omar dan Ahmad Akram Gharib manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib didakwa di Mahkamah Sesyen pada 20 September 2018 dan kes itu dibenarkan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2018, manakala perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Semua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Anda Mungkin Berminat