‘Naslem’ bukan budaya kita, trend pendekkan nama makanan kena tegur

Oleh Nadhirah Akmam

PEMPENGARUH Zhiddin Aziz menegur trend menggunakan singkatan seperti naslem (nasi lemak) dan nasgor (nasi goreng), sambil menegaskan bahawa amalan tersebut bukan sebahagian daripada budaya linguistik masyarakat Malaysia.

Menurutnya, wacana itu tercetus apabila seorang warga Indonesia mempersoalkan mengapa rakyat Malaysia tidak mengikut gaya bahasa ringkas seperti mereka.

“Dia tanya, ‘takkan singkatan kata pun dah buat tergugat identiti?’,” kata Zhiddin menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Zhiddin menjelaskan bahawa sistem pendidikan Malaysia menekankan struktur bahasa yang mempunyai rentak, suku kata dan susunan yang teratur.

“Kita di sekolah diajar bahasa ada disiplin. Sebab itu kita tak terima nasgor atau naslem. Ada pendidikan yang memelihara pemikiran rakyat Malaysia,” katanya.

Mengulas dakwaan netizen bahawa bahasa akan sentiasa berkembang, beliau menolak pandangan kononnya istilah seperti naslem boleh dimasukkan ke dalam Kamus Dewan.

“Tidak. Naslem takkan masuk Kamus Dewan, sama macam nasgor. Awal-awal lagi dah sangkut pada proses linguistik,” katanya menerusi satu hantaran video di media sosial.

Zhiddin turut menerangkan isu bunyi dan suku kata sebagai faktor utama kegagalan perkataan singkatan itu dalam ujian asas linguistik.

“Perkataan mesti jelas pada bunyi. Bila baca ‘naslem’, orang tak tahu itu nasi lemak. Itu keraguan fonetik dan automatik gagal,” katanya.

Katanya lagi, struktur suku kata perkataan asal seperti nasi lemak sudah seimbang dengan gabungan suku kata terbuka dan tertutup. Namun apabila digabungkan menjadi naslem, semua suku kata berubah menjadi tertutup dan menghasilkan bunyi yang “janggal dan ketat”.

Zhiddin menegaskan perubahan itu bukan sekadar soal gaya bahasa, tetapi menjejaskan harmoni lidah Melayu.

“Suku kata lari, maka perkataan ini gagal,” ujarnya.

Trend singkatan ini sebelum ini dipopularkan melalui media sosial, namun turut menerima kritikan kerana dianggap mencemarkan keaslian makanan tradisional dan struktur bahasa kebangsaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat