Nazir Razak Puji Kematangan Diplomasi Malaysia Tangani Tarif Trump

KUALA LUMPUR: Pendekatan matang dan strategik Malaysia dalam menangani isu tarif dikenakan Amerika Syarikat mendapat pujian daripada Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Tan Sri Nazir Razak.

Beliau menyifatkannya pendekatan ini sebagai contoh terbaik untuk negara serantau.

Nazir berkata, kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan hari ini menunjukkan kematangan luar biasa apabila memilih jalan diplomasi dan perundingan berbanding tindakan reaktif yang diambil sesetengah negara lain.

“Bagi mereka yang telah lama kenal saya, pasti tahu saya jarang beri pujian, tetapi saya benar-benar rasa kerajaan Malaysia bijak tangani isu tarif Amerika Syarikat.

“Pertama, Malaysia kekal tenang. Kedua, Malaysia jalankan libat urus untuk bezakan antara retorik dan realiti dari aspek Amerika Syarikat.

“Ketiga, kita kembali merancang semula.

“Keempat, kita akan kembali berunding. Saya rasa ini pendekatan yang tepat, berbanding banyak negara lain,” katanya dalam satu sidang media mengenai inisiatif ekonomi ASEAN-BAC, Selasa lalu.

Beliau turut menyentuh tindakan beberapa negara lain yang bertindak balas secara terburu-buru, sekali gus berisiko menjejaskan hubungan perdagangan jangka panjang.

Nazir juga membangkitkan isu peningkatan halangan bukan tarif (NTB) di rantau ASEAN yang kini mencecah kira-kira 9,642, dan menegaskan bahawa pengurangan tarif seharusnya tidak disertai dengan kenaikan NTB yang boleh membantutkan integrasi ekonomi serantau.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa beberapa inisiatif utama di bawah ASEAN-BAC seperti projek ASEAN Business Entity (ABE), rangka kerja pasaran swasta dan agenda filantropi serantau kini telah siap dan akan dibentangkan kepada para pemimpin ASEAN menjelang akhir Mei.

Nazir menegaskan bahawa ASEAN perlu mengamalkan pendekatan lebih realistik dalam merangka dasar, selari dengan keadaan fiskal semasa yang masih belum stabil di banyak negara anggotanya.

Sebelum ini, kerajaan mengatur enam strategi bagi memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka pendek serta sederhana, termasuk bagi mendepani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Kesemua strategi itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan penerangan dalam sesi mesyuarat khas berkenaan tarif AS di Dewan Rakyat.

Antara enam strategi itu ialah memantau petunjuk ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman.

Anda Mungkin Berminat