Nazrey Johani Buat Kemunculan Istimewa Di Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih

Oleh: Aliyaa Azmi

PENYANYI nasyid terkenal, Nazrey Johani, yang juga bekas anggota kumpulan Raihan, disahkan bakal tampil sebagai penyanyi undangan khas dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih yang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Konsert yang dibawakan oleh Icon Entertainment itu dijangka menjadi antara acara nasyid terbesar awal tahun depan, sekali gus menghimpunkan ribuan peminat bagi meraikan perjalanan seni Inteam selama lebih dua dekad dalam industri muzik tempatan.

Menerusi persembahan itu, Nazrey bakal menyumbangkan alunan vokal serta mesej nasihat yang sarat nilai kerohanian, sekali gus menghidupkan lagi suasana konsert yang dinanti-nantikan peminat.

Terdahulu, pengasas Icon Entertainment Iman Tang, menerusi hantaran di Instagram menzahirkan rasa syukur atas kesudian Nazrey untuk berkongsi pentas dalam konsert bersejarah berkenaan.

“Syukur Alhamdulillah, Nazrey Johani (bekas Raihan) akan sama-sama muncul memberikan alunan suara dan nada nasihat menasihati dalam Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih kelak.

“Icon Entertainment dengan bangganya membawakan Nazrey Johani dalam konsert bertarikh 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Pasti sesuatu yang dinanti-nantikan ramai, terutama buat para peminat Nazrey dan Inteam,” katanya.

Menurut Iman lagi, penyertaan Nazrey dilihat mampu menambah nilai nostalgia serta memperkukuh elemen dakwah dan kasih sayang yang menjadi teras persembahan Inteam sejak penubuhannya.

Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih dijangka menarik kehadiran peminat pelbagai peringkat usia, khususnya penggemar muzik nasyid yang membesar dengan karya-karya kedua-dua figura berkenaan.

Tiket bagi konsert berkenaan kini boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Ticket2u.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat