NCER Catat Pelaburan RM78.95 Bilion, Sedia 23,000 Pekerjaan – Anwar

KUALA LUMPUR: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatatkan pencapaian luar biasa pada tahun 2025 dengan pelaburan direalisasikan berjumlah RM78.95 bilion, sekali gus membuka lebih 23,000 peluang pekerjaan baharu.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara ke-35 pagi tadi.

“Selain pencapaian pelaburan, NCER berjaya melahirkan 4,000 bakat tempatan yang bersesuaian dengan keperluan pelabur dan industri melalui program-program di bawah Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC),” katanya.

Mesyuarat tersebut turut meneliti hala tuju NCER bagi tahun 2026 dan seterusnya dengan fokus memperkukuh peranan wilayah itu dalam mempercepatkan realisasi pelaburan berkualiti tinggi di utara Semenanjung.

Antara projek berpotensi yang dibincangkan termasuk Kedah Rubber City (KRC) dan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Perlis.

Selain itu, usaha memperluas ekosistem pelaburan di kawasan sempadan Malaysia–Thailand serta kajian meningkatkan daya saing pelancongan di Pulau Langkawi turut menjadi agenda utama.

Anda Mungkin Berminat