KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara kecil harus diberi ruang untuk menentukan bentuk kerjasama antarabangsa mereka sendiri tanpa dipaksa atau ditekan oleh kuasa besar.
Beliau menyuarakan pendirian itu dalam ucapan khas sempena Meja Bulat Kuala Lumpur mengenai Kerjasama Serantau Asia-Pasifik anjuran Forum Boao untuk Asia, pada Rabu.
Dalam ucapannya, Anwar berkata, dunia hari ini menyaksikan keterbergantungan dijadikan senjata geopolitik termasuk melalui saluran tenaga, rantaian bekalan semikonduktor dan sistem kewangan global.
“Sejarah membuktikan apabila negara berlumba membina tembok, kemakmuran merosot dan ketidakstabilan merebak.
“Itu sebabnya kita berpegang kepada keterbergantungan berdaulat,” katanya.
Anwar berkata, hubungan antara negara tidak dapat dielakkan, namun ia mesti dibina atas asas pilihan bebas, ketahanan ekonomi dan saling menghormati.
“Keterbergantungan berdaulat mengekalkan keterbukaan sambil melindungi maruah negara, selain menolak sebarang bentuk pergantungan atau penyahtautan yang dipaksakan,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru agar negara kecil tidak tunduk kepada tekanan luar, sebaliknya membina keyakinan untuk berinteraksi dengan dunia mengikut syarat dan kepentingan sendiri.
“Kita boleh berinteraksi dengan dunia secara bebas tetapi dengan syarat kita sendiri.
“Inilah keyakinan yang perlu ada jika mahu negara kecil terus berdiri kukuh,” katanya.








