KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan negara ini tidak ditadbir secara semberono, sebaliknya berasaskan nilai, ihsan dan rahmah yang membentuk teras konsep Malaysia Madani.
Menurut beliau, pentadbiran Madani menekankan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, pendidikan serta pembinaan masyarakat, sekali gus memastikan rakyat tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.
“Negara ini bukan sempurna, tetapi kita letakkan asas. Mengapa Madani? Kerana ia berasaskan keyakinan iman, nilai ihsan dan rahmah yang terangkum dalam akhlak,” katanya.
Anwar berkatan demikian ketika berucap pada Program Temu Mesra Madani Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling, pada Jumaat.
Anwar berkata, kemajuan ekonomi semata-mata tidak menjamin keadilan sosial jika tidak disertai prinsip ihsan.
“Justeru, kerajaan menerapkan nilai Madani dengan menekankan prinsip keadilan, termasuk memastikan syarikat-syarikat yang meraih keuntungan besar turut berkongsi manfaat dengan pekerja melalui gaji dan faedah lebih baik” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anwar menekankan pentingnya budaya saling menegur dalam masyarakat, namun ia perlu berlandaskan akhlak dan nilai Islam. Teguran, katanya, tidak boleh bertukar menjadi cercaan, fitnah atau hasutan yang memecah belahkan masyarakat.
“Kita mesti tegur-menegur supaya kalau ada kesilapan ia boleh diperbaiki. Tetapi biarlah teguran itu berakhlak, penuh adab dan berlandaskan kebenaran,” katanya.
Baca juga: