PETALING JAYA: Sudah tiba masanya negara melaksanakan pengurusan bencana yang pantas, terselaras serta berteraskan nilai kemanusiaan demi memastikan keselamatan dan maruah mangsa sentiasa terpelihara, kata Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian sempena Tahun Baharu 2026 kepada warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) pada Khamis.
Dalam hantaran di Facebooknya, Zahid turut menekankan bahawa setiap angka dalam statistik bencana sebenarnya mewakili nyawa, maruah dan harapan rakyat yang bergantung sepenuhnya kepada kecekapan serta kepantasan agensi terlibat.
“Melangkah ke tahun baharu 2026 ini, saya telah menggariskan tiga hala tuju strategik yang perlu menjadi kompas kerja NADMA dan SMART,” katanya.
Menurut beliau, hala tuju strategik itu merangkumi kesiapsiagaan berasaskan sains, data dan teknologi agar tindakan dapat diambil lebih awal, tepat dan berlandaskan bukti.
Selain itu katanya, tindakan yang pantas, terselaras dan berdisiplin dengan struktur arahan yang jelas perlu menjadi amalan, di samping memperkukuh peranan SMART sebagai pasukan elit negara yang sentiasa bersedia digerakkan pada bila-bila masa.
Menurut Zahid, pendekatan kemanusiaan yang berteras nilai dan empati juga mesti menjadi keutamaan dengan keselamatan serta maruah mangsa diletakkan di hadapan melalui penyaluran bantuan yang cepat, adil dan berintegriti.
Beliau berkata, pengurusan bencana pada era ini menuntut anjakan cara fikir serta cara kerja, sekali gus menolak pendekatan lama yang bersifat terpisah atau bergerak secara silo.
“NADMA mesti terus berperanan sebagai institusi teras negara yang menyatukan maklumat, menangkis kekeliruan dan memastikan kebenaran sampai kepada rakyat tepat pada waktunya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mencadangkan agar uniform Pasukan SMART ditukar supaya lebih menonjol, mudah dikenali dan mencerminkan tahap kesiapsiagaan pasukan berkenaan.
Cadangan itu, jelasnya, selari dengan kecekapan SMART yang diiktiraf bukan sahaja di peringkat nasional, malah antarabangsa.
“SMART memang ‘smart’ dari segi tindakan dan kepantasan.
“Saya berterima kasih kerana pasukan ini telah mengharumkan nama Malaysia, bukan sahaja di peringkat ASEAN tetapi juga dunia,” katanya.
Beliau bagaimanapun berseloroh dengan menyatakan hasrat agar warna uniform baharu tidak menggunakan hijau, sambil menegaskan cadangan tersebut bukan bermaksud memperkecilkan mana-mana pasukan lain.
Mengakhiri amanatnya, Zahid menyatakan keyakinan bahawa NADMA dan SMART akan terus berdiri sebagai benteng kemanusiaan negara.
“Saya yakin, dengan kesatuan pasukan, profesionalisme dan integriti yang tinggi, NADMA dan Pasukan SMART akan terus berdiri sebagai benteng kemanusiaan negara yang sentiasa bersedia sebelum diuji, cekal ketika krisis dan berkhidmat dengan sepenuh hati apabila rakyat memerlukan kita,” ujarnya.








