Negara Terus Stabil di Bawah Naungan Yang di-Pertuan Agong– Anwar

KUALA LUMPUR: Malaysia terus melangkah dengan tertib dan penuh keyakinan di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berlandaskan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan negara ketika ini turut mencerminkan kekuatan sistem pentadbiran yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta amalan demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, gabungan institusi diraja dan sistem demokrasi yang diamalkan menjadi asas penting dalam memastikan kelangsungan pentadbiran negara berada dalam keadaan teratur dan diyakini.

“Di bawah naungan Tuanku, negara terus melangkah dengan penuh tertib dan keyakinan, berpaksikan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya pada Isnin.

Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan berkaitan kehadirannya bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Beliau turut merafak sembah menjunjung kasih atas pemerintahan Seri Paduka Baginda yang disifatkan sebagai simbol penyatuan serta keluhuran negara.

“Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku,” katanya.

Anda Mungkin Berminat