PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam keterangan dua individu berhubung penyebaran sebuah video di media sosial yang didakwa mempersenda dan tidak menghormati lagu kebangsaan, Negaraku.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC berkata, sesi rakaman keterangan berlangsung di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 12 Ogos.
Menurutnya, dalam proses siasatan, sebuah telefon bimbit dan sekeping kad SIM telah disita sebagai bahan bukti.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
MCMC berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memperlekeh atau mempersenda lagu kebangsaan.
Katanya, tindakan itu selaras dengan Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968, yang menetapkan kewajipan setiap warganegara untuk menghormati Negaraku.
Suruhanjaya itu turut mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa menunjukkan rasa hormat terhadap lagu kebangsaan sebagai lambang kesetiaan dan cinta kepada tanah air.
Orang ramai juga diseru untuk tidak melakukan atau menyebarkan sebarang perbuatan yang boleh dianggap menghina lagu tersebut.