Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kemelut politik berpanjangan di Perlis membuktikan kegagalan PAS dan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri itu secara berdisiplin dan berkesan.
Perkara itu dilontarkan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar menerusi kenyataan media pada Khamis.
Menurut beliau, konflik yang berlaku bukan sekadar perbezaan pandangan, sebaliknya melibatkan pertentangan terbuka dalam kalangan pimpinan kerajaan negeri sendiri, termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada gabungan yang sama.
“Apa yang berlaku hari ini adalah potret sebenar kegagalan PAS dan PN apabila diberi kuasa tanpa disiplin dan tanpa keupayaan mentadbir. Ini bukan lagi isu perbezaan pandangan, tetapi perang terbuka dalam sebuah kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mahfuz berkata, krisis politik di Perlis bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlarutan lebih setahun meskipun beberapa langkah telah diambil termasuk pertukaran Pesuruhjaya PAS negeri, pelantikan Pengerusi PN baharu serta rundingan tertutup antara pimpinan.
“Namun semua usaha ini gagal, sekali gus membuktikan masalah sebenar adalah perebutan kuasa dalaman PAS dan kegagalan PN mengawal gabungan mereka sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan keadaan itu amat memalukan memandangkan Perlis merupakan negeri kecil dari segi keluasan dan jumlah penduduk, namun berdepan ketidakstabilan politik yang serius.
“Jika negeri sekecil ini pun gagal diurus, ini bukan soal cabaran tetapi soal ketidaklayakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahfuz mendakwa apa yang berlaku disifatkan sebagai politik ‘tebuk atap’ sesama sendiri, sehingga mengkhianati mandat rakyat tanpa sebarang tekanan daripada pihak luar.
“Kerajaan PN di Perlis sedang mengusik rakyat kerana tamak dan perebutan sesama sendiri,” ujarnya.

Beliau juga mengkritik PAS yang menurutnya selama ini membawa imej politik Islam, namun gagal mengurus konflik dalaman parti sehingga menjejaskan keyakinan rakyat.
“Apabila ADUN daripada parti dan gabungan yang sama hilang kepercayaan kepada kepimpinan sendiri, itu adalah tanda kegagalan total kepimpinan politik,” katanya.
Mahfuz menegaskan rakyat Perlis kini menjadi mangsa kepada perbalahan dalaman yang tidak berkesudahan, sekali gus menjejaskan pentadbiran negeri dan meruntuhkan keyakinan awam.
“PAS gagal mentadbir, PN gagal mengawal. Negeri sekecil Perlis pun ke laut. Yang runtuh bukan musuh mereka, tetapi keupayaan mereka sendiri untuk memerintah,” katanya.
Baca juga:








