SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengumumkan kesediaan untuk bekerjasama dengan Selangor FC dalam menguatkuasakan penggantungan kemasukan pemegang pas bermusim UltraSel ke perlawanan Suku Akhir Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Keputusan itu dibuat selepas menerima surat rasmi daripada pengurusan Selangor FC bertarikh 7 Februari 2026.
Dalam kenyataan rasmi pada Ahad, NSFC berkata, langkah tersebut bukan sekadar memenuhi permintaan pasukan pelawat tetapi mencerminkan prinsip kelab dalam mempertahankan nilai murni bola sepak tanah air.
“Sebagai sebuah kelab yang menitikberatkan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan orang awam, pihak NSFC menghormati keputusan yang telah diambil oleh Selangor FC dan bersedia untuk memberikan kerjasama penuh demi memastikan perlawanan berlangsung dalam suasana yang selamat, terkawal dan positif untuk semua pihak yang terlibat, termasuk penyokong, pemain serta pegawai perlawanan,” menurut kenyataan itu.
NSFC turut menekankan bahawa kerjasama antara kedua-dua pasukan itu penting dalam usaha memupuk budaya bola sepak tempatan yang lebih matang, berdisiplin dan berfokus kepada semangat kesukanan.
Kelab itu menyeru penyokong setia agar menjadikan Paroi sebagai kubu kuat yang digeruni lawan kerana sorakan padu, namun tetap dihormati kawan kerana adabnya.
“Kepada #SekalianYangSetia, marilah kita tunjukkan teladan terbaik.
“Buktikan bahawa Paroi adalah kubu kuat yang digeruni lawan kerana sorakannya, namun dihormati kawan kerana adabnya,” katanya lagi.
Terdahulu, UltraSel, kumpulan penyokong tegar Selangor FC, dihalang daripada hadir ke tiga perlawanan kerana insiden yang berlaku sebelum aksi Liga Super menentang Terengganu FC pada 1 Februari lalu.
Menurut Selangor FC, insiden tersebut melibatkan gangguan ketenteraman awam termasuk penyalaan flare di kawasan mercu tanda Jambatan Ikonik Kuala Terengganu yang menyebabkan kesesakan trafik.








