Negeri Sembilan muncul juara bertahan, dinobat Juara Keseluruhan Tilawah Al-Quran 2024

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445/2024M secara rasmi menutup tirainya pada 28 Mei 2024 selepas enam hari berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah,Kuantan, Pahang.

Kategori Tilawah Al-Quran bahagian Qari menyaksikan tempat pertama digalas Negeri Sembilan, Mohamad Husaini Mahmur dengan markah berjumlah 89 peratus, diikuti Abdul Hadi Che Ab Halim dari Terengganu di tempat kedua dengan 88.67 peratus dan tempat ketiga dari negeri Pahang, Syahees Sabri dengan 86.67 peratus.

Manakala, bagi kategori yang sama bahagian Qariah pula tempat pertama dirangkul Nor Hidayah Abd Rahman dengan 85.66 peratus , diekori tempat kedua Nadrah Ahmad Marzuki dari Negeri Sembilan dengan 85 peratus dan tempat ketiga Nor Jannah Ab Rahman dari Terengganu dengan 83.67 peratus.

Negeri Sembilan kembali mempertahankan trofi setelah sekali lagi dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan MTHQK Tahun 1445H/2024M setelah turut menjadi johan keseluruhan pada tahun 2023 yang diadakan di Pulai Pinang.

Terdahulu, Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah wakil rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang.

Turut hadir Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, YB Senator Datuk Setia Mohd Na’im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM serta tetamu-tetamu kehormat yang lain.

Baca juga :

Anda Mungkin Berminat