Nelayan 63 Tahun Hilang, Bot Ditemui Tanpa Mangsa Di Pantai Sepat

KUANTAN: Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot miliknya ditemui tanpa kelibat mangsa di pesisir Pantai Sepat, petang 2 April lalu.

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan keluarga dan komuniti setempat sebelum Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan segera mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, pihaknya menerima laporan daripada waris mangsa sebelum operasi digerakkan dengan segera.

“Mangsa dikenali sebagai Mohd Ishak Ismail, 63, dipercayai keluar ke laut seorang diri pada 1 April sebelum botnya ditemui pada 2 April kira-kira pukul 5.30 petang tanpa sebarang tanda kehadiran mangsa,” katanya.

Operasi pencarian kini memasuki hari kedua dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Aset Maritim Malaysia iaitu bot PERKASA 45 bersama aset agensi lain telah digerakkan ke lokasi pencarian yang meliputi kawasan seluas kira-kira 16.8 batu nautika persegi.

Menurut Mazlan, keadaan cuaca di lokasi pencarian dilaporkan sederhana dengan angin dari arah barat laut berkelajuan antara 10 hingga 20 kilometer sejam serta ketinggian ombak sekitar 0.5 hingga 1.0 meter.

Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dan operasi akan diteruskan dengan memberi tumpuan kepada sektor yang telah dikenal pasti.

Beliau turut menyeru orang awam dan komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan agar segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 bagi membantu usaha pencarian.

Anda Mungkin Berminat