MERSING: Seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di perairan Tanjung Leman malam semalam ditemukan meninggal dunia di Pantai Tanjung Rhu, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 9.25 malam melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru selepas adik mangsa membuat aduan menerusi talian kecemasan 999.
“Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) digerakkan segera sebaik maklumat diterima bagi memastikan pencarian dilaksanakan secara pantas dan berkesan,” katanya.
Menurut maklumat rakan mangsa, lelaki berkenaan dipercayai terjatuh ke laut ketika melakukan aktiviti menjaring ikan.
Bot milik mangsa kemudian ditemui tersangkut pada jaring tanpa kehadiran beliau di lokasi.
Susulan itu, tim darat Op JAKSA / Op TIRIS 3.0 Zon Maritim Mersing digerakkan ke kawasan pesisir Pantai Tanjung Rhu berikutan keadaan air surut serta berbatu bagi melaksanakan pencarian awal.
Mangsa, Mohamad Shah Mohd Yasin, 41, akhirnya ditemukan oleh penduduk kampung pada pukul 2 pagi dalam keadaan terdampar dan disahkan telah meninggal dunia.
Suhaizan menasihatkan komuniti nelayan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut.
“Nelayan perlu memakai peralatan keselamatan yang bersesuaian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tentera Darat Malaysia.








