Seorang wanita warga emas berusia 60 tahun bersama cucu perempuannya ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Matan, Ranau, pada Khamis.
Mangsa Afflan Sigal, 60, manakala cucunya Carla berusia empat tahun dipercayai terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.
Bagaimanapun, ibu kepada kanak-kanak tersebut sempat menyelamatkan diri keluar dari rumah tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10:53 malam.
Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
“Kebakaran itu memusnahkan sehingga 100 peratus sebuah rumah jenis tidak kekal dan hasil pemeriksaan menemui dua mangsa rentung di dalam bilik berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Ridwan, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi pemadaman api terkawal pada jam 11.45 malam dan kerja-kerja memadamkan sisa kebakaran sepenuhnya masih dijalankan setakat tengah malam tadi dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Baca juga: