Netanyahu Dakwa Israel Bunuh Pemimpin Baharu Hamas, Mohammed Sinwar

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan kepada barisan ahli parlimen Knesset bahawa tenteranya telah membunuh pemimpin baharu Hamas, Mohammed Sinwar dalam serangan udara yang dilancarkan Israel.

“Kami telah menghapuskan Mohammed Sinwar,” kata Netanyahu dalam sesi plenari parlimen.

Laporan media Israel berkata, Mohammed Sinwar menjadi sasaran utama dalam serangan ke atas sebuah hospital di Khan Younis, Gaza, baru-baru ini.

Sinwar dikenal pasti sebagai individu paling dikehendaki Israel dan dipercayai mengetuai sayap ketenteraan Hamas di Gaza.

Beliau juga merupakan abang kepada Yahya Sinwar, bekas ketua Hamas yang didakwa sebagai antara perancang utama serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Yahya Sinwar terbunuh dalam operasi tentera Israel tahun lalu.

Dalam ucapannya di Knesset pada Rabu, Netanyahu menyenaraikan nama Sinwar dalam senarai pemimpin Hamas yang terbunuh akibat serangan udara Israel.

Bagaimanapun, setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa jumlah rakyat Palestin yang terkorban sejak 7 Oktober tahun lalu telah mencapai 54,056, manakala 123,129 lagi mengalami pelbagai kecederaan akibat serangan berterusan Israel.

Anda Mungkin Berminat