Netanyahu Dakwa Israel Bunuh Yahya Sinwar

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Rabu mendakwa bahawa pemimpin Hamas, Yahya Sinwar mungkin telah terbunuh ketika Israel meneruskan operasi ketenteraannya di Semenanjung Gaza.

Dalam satu sidang media, Netanyahu berkata, beberapa pemimpin kanan Hamas telah dihapuskan kerana dianggap sebagai pencetus serangan terhadap Israel.

“Kami telah menghapuskan puluhan ribu pengganas. Antara mereka ialah Mohammed Deif, Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar.

“Kini, nampaknya kami juga telah berjaya membunuh adiknya, Mohammed Sinwar,” katanya.

Yahya Sinwar, pemimpin Hamas yang paling dikehendaki Israel, mengetuai Hamas di Semenanjung Gaza dan dilihat sebagai arkitek utama strategi ketenteraan kumpulan itu.

Menurut Netanyahu, kejayaan membunuh pemimpin utama Hamas adalah sebahagian daripada matlamat operasi ketenteraan yang lebih besar.

“Pasukan kami sedang merampas lebih banyak wilayah di Gaza.

“Pada penghujung operasi ini, seluruh kawasan Gaza akan berada di bawah kawalan keselamatan Israel,” tambah beliau.

Netanyahu turut berkata, perang hanya akan dihentikan sekiranya semua tuntutan Israel dipenuhi termasuk pengembalian semua tebusan, pelucutan senjata Hamas, penggulingan kepimpinan kumpulan itu dan pelaksanaan pelan damai yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa serangan berterusan Israel sejak Oktober lalu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 53,655 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 121,950 orang.

Anda Mungkin Berminat