BAITULMAQDIS: Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu hari ini mengeluarkan amaran keras dan menghalau penduduk kota Gaza untuk segera berpindah.
Menurut laporan Al Jazeera, amaran itu dibuat susulan tentera rejim haram Zionis sedang mempertingkatkan serangan ke atas pusat bandar terbesar di wilayah Palestin sebagai persediaan bagi operasi menakluk kawasan darat wilayah itu.
Kini aktiviti pengeboman di Gaza kerap berlaku meskipun Israel berdepan gesaan yang berulang kali daripada negara-negara Barat dan agensi bantuan antarabangsa untuk menghentikan serangan.
Dalam pada itu, agensi pertahanan awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 39 orang terbunuh pada Isnin, dengan 25 mangsa berada di Kota Gaza.
Dalam pada itu Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, turut memberikan amaran terakhir kepada Hamas.
“Ini adalah amaran terakhir kepada Hamas di Gaza dan di hotel mewah di luar negara, bebaskan tebusan dan letakkan senjata anda atau Gaza akan dimusnahkan dan anda juga akan dimusnahkan,” tulisnya di platform X.
Pada Isnin, tentera Israel dilaporkan menyerang bangunan tinggi keempat di bandar Gaza dalam tempoh beberapa hari, yang didakwa menjadi tempat persembunyian anggota Hamas dalam kalangan penduduk tempatan.
Rakaman video AFP menunjukkan menara Al-Ruya runtuh ke tanah selepas dibom. Israel mendakwa Hamas menggunakan menara itu untuk mengumpulkan risikan dan menyimpan bahan letupan.
Baca juga: