TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengecam keras keputusan United Kingdom (UK) yang mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, menyifatkannya sebagai tindakan tidak masuk akal dan “hadiah buat pengganas”.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pejabatnya lewat Ahad, Netanyahu menegaskan bahawa Israel akan terus bertindak balas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan di semua medan diplomatik bagi menentang apa yang didakwanya sebagai propaganda fitnah yang cuba melemahkan kedudukan rejim itu.
“Pengiktirafan ini hanya akan membahayakan kewujudan Israel dan menjadi hadiah yang tak masuk buat pengganas,” katanya.
Kementerian Luar Israel turut mengeluarkan kenyataan menerusi aplikasi X, menuduh langkah London sebagai sokongan kepada Hamas dan mendakwa pengiktirafan tersebut berpunca daripada serangan pada 7 Oktober 2023.
“Hamas sendiri mengaku pengiktirafan ini adalah buah daripada pembunuhan beramai-ramai pada 7 Oktober.
“Jangan biarkan ideologi jihad menentukan dasar luar anda,” menurut kenyataan itu.
Bekas penasihat keselamatan Netanyahu, Yaakov Amidror turut menyuarakan pendirian tegas bahawa Israel tetap bertekad untuk memusnahkan Hamas, meskipun menerima tekanan daripada negara sekutu agar mengundurkan diri dari Gaza.








