Netizen gesa kembalikan suasana Pantai Teluk Kemang

SUASANA Pantai Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan tidak lagi seperti dahulu kala.

Hal ini kerana persisiran pantai yang sangat terkenal dengan kebersihan pasir putih kini dipenuhi dengan deretan khemah biru yang melakukan aktiviti jual-beli mencacatkan pemandangan.

Isu ini tular apabila kebanyakan pengunjung membuat aduan mengatakan bahawa tindakan meletakkan khemah mengganggu pemandangan pantai di aplikasi X baru-baru ini.

Menurut mereka, setiap khemah yang perlu dibayar untuk sewaan itu sama sekali tidak menguntungkan pengunjung yang mahu menikmati keindahan pantai terbabit.

Ada juga yang dipaksa untuk menyewa khemah terbabit kerana membentangkan tikar kawasan pantai itu.

“Aku dengan family letak tikar depan khemah dorang. Ada abang yang jaga khemah cakap tak boleh letak tikar sini. Dia perli-perli, aku buat taktahu je. Bukan dia boleh buat apa pon,” kata Daril Amin Sabre.

“Itu pantai awam, kalau mereka suka hati pacak khemah dan minta bayar, apa salah kita bentang tikar ye kan?,” kata seorang lagi netizen di ruangan komen.

Sementara itu, ramai pengguna khususnya penduduk di Port Dickson sendiri menggesa pihak berkuasa memansuhkan terus lesen (jika ada) pemasangan khemah di sepanjang pantai itu agar dapat menarik kembali minat pelancong.

“Minta jasa baik pihak berkuasa tengokkan isu ini. Mansuhkan terus penggunaan khemah haram ini. Pantai tu bukan mereka punya. Pemandangan jadi tak cantik, tempat jadi sempit. Berebut tapak jadi gaduh,” kata Nur Karim.

Menerusi laporan media tempatan, isu khemah biru di pantai Teluk Kemang bukanlah perkara baharu dan sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Anda Mungkin Berminat