Netizen Israel boikot filem Superman sebar mesej bebas Palestin

Oleh: Tyah Helmi

WATAK adiwira terkenal iaitu ‘Superman’ dikaitkan dengan satu perdebatan hangat apabila ramai mula menganggap watak berkenaan adalah anti-Israel.

Rata-rata peminat filem di laman X memperkatakan bahawa mereka mendapati pembawakan watak Superman dipaparkan mempunyai sikap anti-Israel.

“Saya pada mulanya ragu-ragu apabila orang menyatakan Superman bersikap Anti-Israel, tetapi ternyata ia adalah betul,” kata seorang seorang pengguna di laman X.

Manakala pemegang akaun bernama Flyover Stan pula menyifatkan watak Superman untuk versi kali ini adalah yang terbaik sepanjang dia menonton filem berkenaan.

“Ini adalah versi terbaik watak itu yang pernah saya lihat dalam filem. Dia melakukan perkara yang betul kerana ia adalah perkara yang betul,” katanya.

Dalam pada itu, ada menyatakan bahawa hasil baharu watak Superman telah membawa mesej yang lebih radikal, melawan dominasi kuasa besar dunia dan memperjuangkan nilai keadilan sejagat.

Pada perkembangan yang sama, Portal Antarabangsa The Times of India menyatakan, filem hasil arahan James Gunn itu seakan membawa mesej politik yang tersirat yang mana beliau turut memasukkan babak konflik sempadan fiksyen antara dua negara iaitu Boravia, sebuah negara kaya dan ketenteraan yang disokong oleh AS, dan Jarhanpur, sebuah negara jiran yang miskin di mana orang awamnya sering menjadi mangsa serangan udara dan pengusiran paksa.

Menurut laporan itu, ramai pengkritik filem serta penonton memberitahu ia memberi gambaran yang jelas bahawa babak-babak berkenaan iaitu Boravia menyerupai Israel dan Jarhanpur pula diibaratkan sebagai Palestin.

Oleh itu, di media sosial sememangnya dibanjiri dengan komen dan ciapan yang menyifatkan filem itu sebagai “terang-terangan anti-Israel,” dengan hantaran seperti, “Korang tak bergurau bila cakap filem Superman tu anti-Israel dan pro-Palestin… memang langsung tak sembunyi niat.”

Setakat berita ini ditulis, kutipan filem Superman sudah melepasi AS215 juta.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat