KUALA LUMPUR: Kesesakan lalu lintas luar biasa, itu kata-kata pengguna jalan raya di Lembah Klang sejak Isnin lalu hingga ke hari ini.
Rata-rata menyifatkan situasi ini semakin buruk apabila semua jalan atau lebuh raya sesak dengan muatan kenderaan yang lebih banyak daripada kebiasaan.
Pengguna Thread, Syazleen Ismail menyatakan perjalanan dua jam ke Damansara dari Kota Kemuning sangatlah tidak munasabah.
“Kota Kemuning-Damansara dua jam? Paling gila sekali tol Damansara,” tulisnya sambil meminta Menteri Pengangkutan Anthony Loke agar berbuat sesuatu.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Thread berkata kesesakan minggu ini tiga kali ganda berbanding hari lain menyebabkan ramai hilang sabar.
“Dari Isnin jem gila gila, tiga kali ganda. Benda selalu 20 minit je jadi 1 jam lebih what the …. Harap next week jalan kosong,” tulisnya lagi.
Malahan, ada yang membuat teori ia berkaitan syarikat yang mewajibkan pekerjanya yang dahulu bekerja dari rumah kini masuk ke pejabat menjadi punca kesesakan luar biasa.
Bagaimanapun, menelusuri media sosial, hal ini dipercayai berkaitan Tahun Baharu Cina yang akan disambut minggu depan serentak dengan awal Ramadan menyebabkan jalan raya sesak.
“Cuti sekolah, Cina beraya, awal puasa jadi semua orang nak membeli barang, makan besar dan balik kampung. Ada yang nak bersalam-salaman dulu sebelum gerak tu yang makin dahsyat ‘highway’” tulis Amalia memberi kesimpulan kepada perkara di atas.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyatakan terdapat beberapa penyelenggaraan mengakibatkan jalan ditutup. Antaranya ialah Kuala Lumpur-Karak, lebuhraya utara-selatan, lebuhraya baru lembah Klang (NKVE).
Selain itu, terdapat beberapa kemalangan dan juga kenderaan rosak di pesisir jalan menyumbang kepada kesesakan jalan raya.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada kenyataan rasmi berkenaan punca kesesakan jalan raya minggu ini.







